Jumat, 15 April 2016

MY HOMEMADE PAU



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Terlebih dahulu saya memohon maaf jika ada yang terpaksa menunggu agak lama resepi Pau dari saya yang akan saya kongsikan di sini. Terlalu banyak juga yang perlu saya uruskan seorang diri dengan tulang 4 kerat ni. Masa juga berlalu sungguh pantas dari sehari ke sehari dan sebagai seorang ibu dan isteri urusan keluarga terpaksa didulukan dari segalanya.

Buat pengetahuan juga, kerja kerja nak siapkan N3 sesatu recipe bukan mudah yer.. Saya bukannya buat sesatu kerja main tangkap muat jer.. Saya kena masak atau buat setiap menu dan ambil sukatan yang betul, snap gambarnya dengan DSLR nak setting lagi.. pastu nak pilih gambar yang terbaik, edit pulak.. Barulah susun resepinya. Saya sentiasa ingin memberikan yang terbaik buat semua. Itulah bila berlaku kes curi curian tu memang agak kecewa sangat rasanya. Harap semua pihak memahami situasi saya.




Okaylah.. Jom kita kona balik ke cerita Pau ni. Seperti yang pernah saya ceritakan dulu Mak kesayangan saya memang menjual kuih muih dan macam macam lagi makanan sedari saya kecil lagi. Hidup saya dah terbiasa dengan kuih muih air tangan Mak saya yang banyak juga telah saya kongsikan di blog ini. Hari ini satu lagi yang akan saya abadikan resepi dari pengalaman membantu Mak membuat kuih jualannya iaitu Pau. Cuma macam biasalah, sebelum ini Mak dan saya buat tak pernah ikut resepi yang tepat. Mungkin sudah terbiasa, kami hanya mengagak melalui jari jemari kami jer.. hehehh.. Satu lagi, dulu Mak buat hanya menggunakan tepung gandum biasa jer tapi saya dah upgrade sikit dengan menggunakan Tepung Pau dari jenama Blue Key. Dah banyak jenis tepung yang saya cuba sebelum ini tapi hanya sangat berpuas hati dengan tepung ini. Sempat jugalah suatu ketika dulu di zaman kegawatan saya sendiri pula berniaga pau ni.




Langkah yang pertama kita kenalah menyediakan INTI untuk Pau kita. Saya biasanya akan buat dua jenis inti sebab anak saya Farrah hanya suka Pau berinti Kacang Merah dan Ayahnya pulak nak Pau Kari Ayam. Hmm.. Gitulah kita ibu ibu ni kann.. Semua nak timbang bagi sama rata demi kebahagian keluarga tercinta. Saya share resepi intinya.


INTI KACANG MERAH :

500 gm Kacang Merah
1 1/2 cawan Gula Pasir
3 sudu besar Minyak Jagung
1 sudu besar Tepung Gandum
2-3 helai Daun Pandan
Air Secukupnya

Rendam kacang merah semalaman hingga kembang. Bilas dan rebus hingga pecah dan empuk. Matikan api dan sejukkan sebentar. Setelah sejuk, blend atau kisar separa halus. Tak perlu halus sangat, tak sedap bila makan nanti. Kemudian jerang balik atas dapur dengan menambah air, daun pandan yang disiat disimpul dan masukkan gula. Gula boleh ditambah atau dikurangkan mengikut citarasa memasing. Bila sudah hampir sebati dan pekat masukkan tepung gandum dan kacau rata hingga sebati. Akhir sekali masukkan minyak jagung. Bila sudah pekat, matikan api dan sejukkan dulu sebelum digunakan.





INTI KARI AYAM :

500 gm Ubi Kentang
300 gm Isi Ayam
25 gm Rempah Kari Daging BABAS
1 sudu besarRempah Tok Mak~~jika ada
1 labu Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 sudu besar Lada Hitam ~~ditumbuk kasar
Sedikit hirisan Daun Sup/Bawang
Minyak untuk Menumis
Garam dan Gula Secukup Rasa

Tumis bawang besar dan bawang putih yang diracik halus sehingga keemasan. Masukkan rempah yang dibancuh menjadi pes bersama sedikit garam dan masak hingga garing dan naik bau. Kemudian masukkan isi ayam yang telah dipotong kecil dan kacau hingga masak. Masukkan kentang yang telah dipotong dadu dan air agak agak hampir tenggelam kentang dalam kuali. Selepas itu masukkan lada hitam, garam dan gula secukup rasa. masak hingga kentang tu empuk dan kering. Akhir sekali masukkan daun sup dan daun bawang untuk aroma yang harum. Sama juga, sejukkan dulu sebelum dimasukkan ke dalam pau nanti.

NOTE : Sukatan Inti Kacang Merah dan Inti Kari Ayam di atas cukup untuk membuat 2 kg Tepung Pau.




Sebagai lapik Pau, saya tetap tak berubah dari dulu yang sentiasa memilih daun pisang. Harum daun pisang tu bila dikukus dengan pau tu pasti semua orang tau, takyah citer lagi lah kann.. Memang bersemangat dan tak sabar sabarlah nak memakannya. Hmm.. Bila dok mengisah daun pisang ni, teringat sangat zaman kanak kanak dulu. Memang inilah kerja saya dulu membantu emak jualan kuih dan nasik lemak. Memang nostalgia sungguh tapi hikmahnya hingga ke hari ini.. Subhanallah.. Tidak terbanding dengan wang ringgit kengkawan.. Tulah dia, bukan semua pengalaman dan pengajaran di dunia ini boleh dibeli dengan wang ringgit.




Selain itu seperkara lagi yang sangat penting.. Meh sini rapat rapat hakaq nak share.. Kalau berminat nak tau lah yer.. Ni cara untuk bancuh yis yg saya biasa guna sama ada untuk buat Pau, Roti dan Donut. Bancuh Yis Kering tu dengan air biasa jer.. JANGAN GUNA AIR PANAS nanti yis tu akan mati. 1 packet Yis 11 gm tu bancuh jer dgn 1 cawan air, tuang sedikit demi sedikit dan bancuh hingga larut.. Lepas tu taburkan dengan sedikit gula supaya yis tu membiak berbuih buih elok cam dalam pic ni barulah diguna dalam adunan. Ini adalah sukatan untuk 1 kg Tepung Pau tadi. Jika menggunakan Tepung Pau jenama 'BLUE KEY' tu di dalamnya telah disertakan 2 packet yis jenama 'MAURIPAN' tapi kita guna sepacket jer yer. Seterusnya kita siapkan doh Pau pula.




BAHAN BAHAN :

1 kg Tepung Pau 'Blue Key'
11 gm Yis Kering 'Mauripan'
1 sudu kecil Bread Improver 'Nona'
2 sudu besar Shortening
1/2 cawan Minyak Jagung
2 sudu besar Susu Tepung
1 sudu besar Gula Kastor
2 1/2 sudu kecil Garam Halus
3 cawan Air Biasa




Memula bancuh yis kering seperti yang saya cerita tadi. Satukan semua bahan di atas dan masukkan balance air yang tinggal lagi dua cawan tu sedikit demi sedikit dan gaul rata. Kemudian uli hingga tanpa henti selama lebih kurang 15 minit hingga betul betul sebati dan memutih doh itu. Sambil menguli ditumbuk tumbuk sedikit doh tu untuk membuang angin yang berlebihan. Rehatkan doh sebentar lebih kurang 5 minit. Kemudian bahagikan kecil kecil untuk dimasukkan inti. Kalau buat bajet comey comey 1 kg tepung ni boleh dapat hingga 40 biji pau.




Setelah dimasukkan inti, lapikkan dengan daun pisang dan susun dalam pengukus. Susun jarang jarang sikit kerana ia akan mengembang dan terus mengembang bila dikukus nanti. Boleh refer dalam gambar susunan saya. Bila dah siap mengisi inti biarkan ia naik seketika. Sebaiknya diletakkan di tempat yang ada cahaya supaya ia cepat mengembang. Sambil menanti pau pau itu betul betul naik bolehlah dipanaskan kukusan kita. Setelah permukaan pau tu naik sepenuhnya, licin elok permukaannya bolehlah kita kukuskan. Kukuskan selama lebih kurang 5-7 minit sahaja dengan api yang sederhana. Jika api terlalu kuat, wap akan terlampau banyak dan air wap akan menitik pada pau. Sebelum menutup kukusan juga pastkan tutupnya dilap kering segala air yang ada. Jangan mengukus terlebih masa nanti permukaan pau akan mengedut ngedut. Dan satu lagi perkara yang sangat penting ketika membuka tutup kukusan setelah cukup masa memasak, jangan terus dibukak sekali harung. Sebaliknya dibuka sedikit demi sedikit dulu ala intai intai gitu. Jika terus dibuka mendadak, pau kita pun akan mengedut mendadak juga.




Akhir kata dari saya.. Selamat Mencuba yer Puan Puan.. Segala yang baik itu hanya dari Allah SWT dan yang buruk itu adalah dari saya hamba yang hina.. Ada umur, ada rezeki kita ketemu lagi yer teman teman.. Assalamualaikum.. :)







reff : http://spicesjourney.blogspot.com/2013/04/my-homemade-pau.html

Tags:

0 Responses to “MY HOMEMADE PAU”

Posting Komentar

Subscribe

Berlangganan artikel via email

© 2013 Ruang Inspirasi 2015. All rights reserved.
Designed by SpicyTricks